SESIAPA saja mempunyai naluri ingin hidup berpasangan dengan pilihan hati masing-masing. Hanya melalui ikatan perkahwinan saja seseorang itu dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal.

SEMOGA KEKAL SELAMANYA...perkahwinan bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga harmoni.
SEMOGA KEKAL SELAMANYA...perkahwinan bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga harmoni.
Dalam Islam, hubungan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia adalah ibadah bertujuan melahirkan generasi dan zuriat soleh sebagai penyambung keturunan.

Al-Quran menjelaskan pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum ayat 21).

Begitu indah perencanaan Allah yang menjadikan manusia melalui fitrahnya untuk hidup berkasih sayang bersama pasangannya.

Allah menciptakan manusia berpasang-pasangan agar manusia dapat hidup lebih teratur selain dapat berkongsi suka duka bersama.

Namun bukan mudah untuk memenuhi tuntutan sebagai pasangan suami isteri kerana perkahwinan perlu pengorbanan dan tanggungjawab.

Perkembangan dunia moden sekarang tidak menidakkan setiap orang amat mudah berjumpa dan mengenali 'calon berpotensi' untuk dijadikan teman hidup.


Malangnya, kebebasan dengan budaya berpasangan dibimbangi mengundang banyak masalah terutama aktiviti seks sebelum berkahwin.

Adalah amai bersetuju sekiranya perkahwinan dipercepatkan. Namun, kita mungkin biasa dengar ada yang mengatakan; "Kejar cita-cita dulu baru kejar cinta", "esok anak dengan bini kamu nak bagi makan pasir?" apabila menyatakan hasrat mahu mendirikan rumah tangga dalam keadaan belum bersedia.

Malah, ada beranggapan berkahwin pada usia muda mendatangkan pelbagai masalah. Lebih buruk, ia membabitkan campur tangan ahli keluarga bakal pasangan seperti adik beradik yang mempengaruhi keputusan ibu bapa dalam menyatakan soal sesuai atau tidak pasangan terbabit.

Bagaimanapun, ia terpulang kepada diri masing-masing yang membawa haluan. Yang penting mereka perlu bijak dan bersedia mental dan fizikal sebelum melangkah ke alam yang penuh dugaan dan tanggungjawab itu.

Perkahwinan dalam usia muda memang baik bagi mengelak perilaku sumbang pasangan yang sedang bercinta.


Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah. Tidak kira pada usia berapa pun, jika sampai jodoh dan ketentuan Ilahi, apa saja kehendak-Nya pasti akan berlaku.

Pada zaman dahulu, pasangan muda mendirikan rumah tangga dianggap perkara biasa, namun tidak pula pada zaman sekarang.

Ramai anak gadis menamatkan zaman bujang ketika usia belasan tahun. Mereka menganggap jika lambat kahwin nanti tidak 'laku' selain ibu bapa bimbang anak mereka melakukan perbuatan luar batasan.

Tidak dinafikan peluang melanjutkan pelajaran tidak seluas sekarang. Tidak hairanlah anak gadis di zaman dulu tamat saja persekolahan peringkat menegah terus mendirikan rumah tangga.

Mereka dinilai jika pandai melakukan kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah dan menjaga adik-beradik sudah dikira layak untuk berkahwin.

Hari ini ramai menyambung yang pengajian ke peringkat lebih tinggi dan mahu mengecapi kejayaan dahulu sebelum memikirkan soal perkahwinan.

Pujian dan galakan perlu diberikan kepada mereka yang 'berani' meninggalkan keseronokan hidup membujang dengan membuat keputusan untuk berkahwin muda.

Sesetengah pihak beranggapan remaja berusia bawah 20 tahun masih 'mentah' untuk mengharungi kehidupan berumahtangga.

Tetapi, perasaan itu pasti bertukar apabila mereka sudah mengalami sendiri pengalaman memikul tanggungjawab sebagai suami isteri.

Jika ditentukan kita berkahwin dalam usia muda, mungkin itu jalan terbaik yang Allah tentukan untuk kita.


Perkahwinan pada usia muda adalah cabaran besar kerana ia membabitkan sensitiviti, emosi serta perasaan cemburu tidak kiralah suami atau isteri.

Justeru, perlu wujud persefahaman dalam memahami keperluan masing-masing. Bagi pasangan yang bercadang mendirikan rumah tangga pada usia muda, kisah puteri kesayangan Rasulullah, Fatimah az-Zahra serta Saidina Ali boleh dijadikan contoh.

Ketika berkahwin, Fatimah berusia 18 tahun mendapat bekas air diperbuat daripada kulit, sebuah kendi tanah, sehelai tikar dan batu penggiling jagung sebagai mahar daripada ayahnya.


Nabi juga pernah berkata kepada puterinya, "Anakku, aku menikahkanmu dengan lelaki yang kepercayaannya lebih kuat dan lebih tinggi daripada yang lainnya, dan seorang yang menonjol dalam hal moral dan kebijaksanaan." Fatimah melaksanakan tugasnya sebagai isteri seperti mengambil air telaga dan menggiling jagung manakala Ali pula keluar bekerja mencari nafkah.

Mereka terkenal dengan budi pekerti tinggi dan bersifat dermawan. Fatimah meninggal dunia di sisi Ali dan anaknya ketika berusia 28 tahun iaitu enam bulan selepas kewafatan Rasulullah.

Rasulullah pernah menyatakan, Fatimah akan menjadi 'ratu segenap wanita di syurga'. Ada kaum lelaki dan ada pula kaum perempuan. Begitulah unik dan rahmat Allah menjadikan alam ini untuk hamba-Nya renungi.

Sebab itu, Rasulullah memberi bimbingan kepada manusia agar memilih pasangan atas empat perkara iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya.

Namun, lebih utama dari empat perkara berkenaan adalah agama yang menjadi tunjang kepada kebahagiaan rumah tangga yang dibina.

Pernikahan adalah alat mencipta keluarga bahagia. Ia bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat semata-mata tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga yang harmoni.

Ekonomi kukuh, mengenali pasangan dengan lebih rapat, kesabaran serta persediaan psikologi adalah persediaan penting dalam mengharungi cabaran alam rumah tangga.

Maka, sesiapa yang mampu dan bersedia untuk berkahwin elok mereka segera berbuat demikian. Kalau hendak difikirkan soal duit, sampai bila-bila pun ia sentiasa tidak mencukupi. Allah sudah menjanjikan pelbagai nikmat dan ganjaran bagi mereka yang melakukan ibadah kahwin ini.

Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari mengatakan bahawa: "Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah ia berpuasa kerana puasa adalah penahan hawa nafsu...."

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata perkahwinan perlu dirancang kerana ada perbezaan hukum kahwin iaitu harus, sunat, wajib bahkan haram.


"Perlu lihat kemampuan untuk menguruskan tanggungjawab selepas kahwin. Kebaikan kahwin awal dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan salah laku nafsu disamping mempercepatkan kematangan.


"Keburukan kahwin awal adalah akan wujudnya hubungan 'fragile' jika sebarang masalah tidak dapat diurus dengan baik," katanya.


Rahimi berkata perkahwinan adalah jalan keluar bagi menghalalkan hubungan tetapi kemampuan melaksanakan tanggungjawab itu tidak terletak pada umur tetapi terletak pada sikap serta kematangan.

"Kerana itu penilaian terhadap kemampuan untuk membina rumah tangga perlu dilihat secara menyeluruh.


"Tidak dinafikan bahawa keselesaan (bukan kemewahan) hidup penting dalam kehidupan rumah tangga. Jadi, kos untuk mewujudkan keselesaan hidup berbeza antara dulu dan sekarang," katanya.


Beliau berkata berkenaan rezeki selepas berkahwin tidak perlu dirisaukan kerana Allah memberi jaminan terhadapnya.

"Bab rezeki memang tidak perlu dibimbangi kerana itu adalah jaminan Allah kepada hamba-Nya tetapi kita perlu berusaha mencari nafkah buat keluarga," katanya.



“Sesiapa yang tidak peduli urusan umat Islam, dia bukan dari kalangan mereka”. (Hadis)

GAMBAR-GAMBAR BAYI DIBUANG

Monday, May 31, 2010




Kejutan belakang bilik mayat
MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu ditemui ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab di belakang Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), petang kelmarin.








MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu ditemui ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab di belakang Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), petang kelmarin.

Difahamkan, bayi terbabit ditinggalkan agak lama sebelum ditemui oleh seorang orang awam berusia 40-an kira-kira jam 4.30 petang yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk melawat ahli keluarganya sebelum dia menghubungi pihak polis.


Sumber berkata, bayi terbabit ditemui dibalut dengan sehelai kain batik dan diletakkan di dalam sebuah beg berwarna merah bertulis ‘Parkson’ yang turut dilapik dengan tilam nipis.


“Bayi terbabit kemudiannya dibawa polis yang bertugas di pondok hospital ke Jabatan Kecemasan untuk pemeriksaan kesihatan. Bayi terbabit sudah tidak mempunyai tali pusat dan selamat serta keadaannya adalah sihat,” katanya.


Sumber berkata, bayi berkenaan kini diletakkan dalam pengawasan pihak hospital bagi memastikan keadaan kesihatannya benar-benar terjamin sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan selanjutnya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi berkenaan.


Beliau berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu yang terbabit meninggalkan bayi berkenaan untuk tindakan.


Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian dalam menjaga kanak-kanak yang berada dalam jagaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.


Salehhudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan polis.


Ini adalah kes kedua berkaitan bayi yang berlaku dalam bulan ini.


Pada 18 Mei lalu, akhbar ini melaporkan satu pasangan remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dan menanam mayat seorang bayi lelaki di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam pada 12 Mei lalu.



Friday, May 28, 2010

ayat bayi cedera kepala, dihurung semut ditemui
Share
Oleh Mohamad Yatim Latip
bhnews@bharian.com.my

Jemaah jumpa bungkusan di luar pagar pintu masuk masjid

MELAKA: Satu mayat bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan dengan kesan kecederaan di kepala, ditemui dalam keadaan dihurung semut oleh penduduk di luar pagar pintu masuk Masjid Permatang Duyong, Taman Seri Duyong, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, mayat itu yang dibungkus dengan sehelai kemeja-T putih ditemui seorang ahli jemaah ketika hendak meninggalkan tempat berkenaan selepas selesai menunaikan solat Subuh pada kira-kira jam 6.30 pagi.


Katanya, hasil bedah siasat Hospital Melaka mendapati bayi itu dipercayai mati dalam tempoh 24 jam selepas dilahirkan, cukup sifat dan tali pusat masih melekat di perutnya.

Salehhuddin berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas dakwaan menyembunyikan kelahiran selain membuang mayat bayi itu.

Katanya, polis sudah memulakan siasatan termasuk mengesan ibu bapa mayat bayi berkenaan dan kini menunggu laporan penuh perubatan bagi mengetahui punca kecederaan bayi berkenaan.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu menghubungi segera Ketua Bahagian Sia-satan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Poh di talian 019-7778228.

Sementara itu, seorang petugas masjid berkenaan, Muhamad Abu, 60, ketika ditemui berkata, beliau melihat bungkusan putih sebaik tiba di situ pada kira-kira jam 5.30 pagi tapi tidak memeriksanya.

Bagaimanapun, katanya, ketika ahli jemaah masjid itu baru selesai solat Subuh dan imam sedang membaca doa, seorang lelaki yang keluar lebih awal menjerit memaklumkan menemui mayat bayi, ditinggalkan di pintu pagar masjid.

"Sebaik saja mengesahkan ia mayat bayi, bilal masjid menghubungi Balai Polis Kandang untuk memaklumkan mengenai penemuan berkenaan," katanya.
ANGGOTA polis memeriksa mayat bayi yang ditinggalkan di luar pagar pintu masuk Masjid Permatang Duyong, Melaka.

Wednesday, May 26, 2010

Isteri, kekasih sama-sama hamil

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/05/26




PUTRAJAYA: Seorang lelaki ‘mata keranjang’ yang isterinya bakal melahirkan anak pada bila-bila masa ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana bersekedudukan dengan teman wanitanya yang hamil di Precint 9, di sini, kelmarin.

Teman wanita terbabit baru menamatkan pengajian di sebuah pusat pengajian tinggi awam (IPTA) dan bakal menerima ijazah dalam tempoh terdekat ini. Tembelang kakitangan awam lingkungan 30-an terbabit dipercayai bersekedudukan dengan ‘isteri luar nikah’ berusia awal 20-an itu terbongkar apabila sepasukan penguat kuasa Jawi, menyerbu kediaman lelaki terbabit, selepas menerima aduan daripada penduduk yang curiga dengan kehadiran wanita mengandung di rumah terbabit.

Siasatan mendapati, lelaki sudah berumah tangga itu menghantar isterinya yang juga kakitangan kerajaan ke kampung kerana wanita berkenaan akan melahirkan anak pada bila-bila masa.

Kesempatan itu digunakan lelaki terbabit membawa kekasih gelap ke rumah dan menjalani kehidupan seperti suami isteri yang sah.

Sumber berkata, maklumat diperoleh mendapati lelaki terbabit sudah berumahtangga dan mempunyai seorang isteri dan anak. “Bagaimanapun, isteri lelaki itu yang sarat mengandung dan dihantar suaminya pulang ke kampung untuk bersalin di sana.

“Kami percaya kesempatan itu membuka ruang lelaki terbabit membawa kekasih gelap yang juga sedang mengandung hasil persetubuhan haram mereka untuk tinggal di rumah berkenaan,” katanya, semalam.

Menurutnya, lelaki terbabit mengaku pasangannya sudah mengandung tujuh bulan, begitu juga isterinya yang bakal melahirkan anak bila-bila masa di kampung.

“Memang tidak ada individu lain di rumah itu dan pasangan terbabit seolah-olah hidup macam pasangan suami isteri.

“Lelaki terbabit memberi alasan dia kini dalam proses penceraian dengan isterinya walaupun pada waktu sama memiliki kekasih yang sudah mengandung.

“Malah, lelaki terbabit mendakwa hubungan dengan kekasihnya itu mendapat tentangan keluarga wanita berkenaan,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit bersekedudukan untuk tempoh agak lama sehingga menyebabkan kekasihnya mengandung.

Monday, May 24, 2010


KUANTAN 1 Sept. Seorang pelajar perempuan tergamam apabila didatangi seorang wanita yang memintanya menjaga seorang bayi berusia beberapa hari di Kampung Sungai Karang Darat di sini, dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, ACP T. Narenasagaran berkata, dalam kejadian 3.30 petang itu, pelajar berusia 18 tahun berkenaan berada bersendirian di rumah sepupunya sementara menunggu saudaranya itu pulang dari tempat kerja.

Beliau berkata, pelajar tersebut kemudian didatangi seorang wanita yang mendukung seorang bayi dalam bungkusan kain lampin lalu bertindak meletakkan bayi tersebut di atas tangga rumah itu.

Wanita berkenaan kemudian meminta pelajar tersebut menjaga anaknya sebelum melarikan diri, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pelajar terbabit yang tergamam dengan kejadian tersebut hanya membiarkan bayi itu di atas tangga rumah sehingga sepupunya pulang sebelum menghantar bayi berkenaan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, katanya.

Katanya, polis sedang mengesan ibu bayi terbabit. – Bernama

Pengetahuan seksual secara ilmiah
Oleh Nurul Nadia Abdul Hamid

2010/05/25

Cegah remaja daripada aktiviti tidak sihat

LANGKAH pengenalan dasar pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial (PKRS) menggantikan pendidikan seks menekankan pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif dan sosial agar mampu mengelakkan masyarakat, terutama golongan muda daripada terjebak dalam tingkah laku yang tidak sihat.

Sebelum ini, cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seks sebagai subjek khas di sekolah ditolak berikutan keengganan segelintir ibu bapa menerimanya, selain bantahan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan keluarga) LPPKN, Dr Norliza Ahmad, berkata pengetahuan seksualiti penting sebagai benteng untuk menangkis unsur buruk yang mampu menjerumuskan generasi muda ke arah salah laku seksual.

“Remaja kini terdedah dengan pelbagai unsur negatif. Teknologi yang melangkaui sempadan dan kemudahan berlebihan memberi mereka input sehinggakan terjadi masalah sosial seperti seks luar nikah, seks rambang, rogol, pornografi, seks siber dan sexting atau mesej seks melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya ketika taklimat bersama media di bangunan LPPKN, baru-baru ini.

Katanya, pelbagai faktor penentu kepada aktiviti remaja sedemikian antaranya peningkatan hormon reproduktif apabila pengakhiran umur remaja, status sosio-ekonomi, pegangan agama yang goyah dan senario tingkah laku pasangan ketika janji temu.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak faktor latar belakang keluarga, kawalan dan pengaruh rakan sebaya selain etnik turut menjadi penyumbang kepada permasalahan sosial remaja.

Kajian penduduk dan keluarga Malaysia keempat oleh LPPKN pada 2004 pula menunjukkan data hampir 2.2 peratus remaja mengadakan hubungan seks luar nikah, manakala kajian di Negeri Sembilan pada 2006, menunjukkan 5.4 peratus remaja mengadakan hubungan seks pada purata umur 15 tahun.

Memeranjatkan apabila kajian oleh MAC pada 2000 menyatakan umur paling muda melakukan hubungan seks ialah seawal usia sembilan tahun dan kajian media LPPKN 1998 mencatatkan 27.2 peratus remaja berumur 16 tahun melakukan hubungan seks pertama.

Laporan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggarkan 1,456 kes rogol berlaku setiap tahun. Jumlah itu dikatakan hanyalah 10 peratus daripada kejadian sebenar, manakala lebih separuh daripada kes berkenaan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Kajian menunjukkan 84 peratus mangsa dirogol oleh individu yang dikenali, mempunyai pertalian saudara termasuk teman lelaki yang baru dikenali dengan 67 peratus lokasi rogol adalah di tempat yang dianggap selamat oleh mangsa iaitu rumah dan bangunan.

Dr Norliza berkata, berdasarkan pelbagai kejadian yang dilakukan itu pihaknya berharap masyarakat dapat menerima bahawa pendidikan seksualiti amat penting supaya kanak-kanak khususnya, dapat mengelakkan diri dari terjebak dalam gejla sosial dan saalah laku seks tanpa nikah.



Kemaruk seks di hotel murah

DUNGUN – Seorang wanita yang sudah bertunang sanggup menjadikan hotel murah di pantai peranginan Kuala Abang, di sini sebagai tempat memuaskan nafsu bersama lelaki lain, gara-gara kemaruk seks.

Hubungan sulit itu terbongkar apabila rumah tumpangan yang disewa secara bulanan oleh lelaki itu diserbu pihak berkuasa, petang kelmarin.

Ketika serbuan dibuat kira-kira jam 5 petang, wanita yang berasal dari Kampung Seberang Pintasan itu dikatakan baru selesai melakukan perbuatan terkutuk bersama teman lelakinya yang bekerja sebagai penjual ikan di Kompleks Perikanan Kuala Dungun.

Setelah disoal siasat penguat kuasa, wanita itu mengaku sudah beberapa kali memuaskan nafsu dengan teman lelakinya yang berasal dari Kampung Baru Kuala Abang.

Kami pernah melakukan perkara sama beberapa kali sebelum ini di beberapa lokasi, jadi bila dia menyewa bilik di sini, dia menjemput saya ke sini untuk puaskan nafsu,” katanya.

Wanita itu yang merupakan anak keempat daripada lima beradik memberitahu :Sinar Harian: bahawa dia bakal melangsungkan perkahwinan dalam tempoh terdekat.

Katanya, dia juga pernah melakukan perkara sama beberapa kali bersama tunangnya ketika bermalam di rumah bakal mentuanya.

"Bagi mengelakkan perbuatan itu diketahui, kami melakukannya pada lewat malam di dalam bilik tunang saya setelah kedua-dua orang tua nyenyak.

“Bila jumpa kawan saya di hotel, kami puaskan nafsu juga tetapi perbuatan saya ini tidak diketahui tunang saya," katanya.

Sementara itu, hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang ditahan terlibat penyalahgunaan dadah.

Polis menemui tiga paket plastik di atas meja di dalam bilik hotel dan setiap satu mengandungi 10 pil kemerahan disyaki pil kuda.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang mengesahkan tangkapan itu berkata, lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ujian air kencing mendapati wanita itu positif dadah dan dia ditahan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tawanan dukun muda

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/05/25
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel





KUALA LUMPUR: Tempoh tiga jam penuh mendebarkan buat seorang gadis apabila ditawan seorang dukun muda yang bertindak merawat mangsa melalui kaedah urut geli-geli pada seluruh tubuh selepas mendakwa rawatan itu mampu menyembuhkan penyakit kanser dihidap mangsa.

Difahamkan, suspek yang berusia 24 tahun berkenaan turut dipercayai mengamalkan ilmu pukau apabila menggunakan asap rokok dan gula-gula pedas bagi membuat mangsa menjadi kaku sebelum dicabul di dalam sebuah bilik hotel di sini.

Namun mangsa bernasib baik apabila tersedar sebelum cuba melarikan diri dari bilik hotel selepas bergelut dengan suspek yang hanya baru dikenali kira-kira lima hari melalui laman sembang Internet.

Sumber polis berkata, suspek mendakwa mempunyai kebolehan luar biasa mengesan penyakit yang dihadapi sesiapa saja dengan hanya melihat air muka mereka.

“Suspek kemudian memberitahu turut dianugerahkan kebolehan luar biasa iaitu mampu mengubati penyakit itu dan meminta gadis berkenaan datang ke ibu kota bagi menjalani sesi rawatan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang termakan kata-kata pujukan suspek kemudian bersetuju datang ke ibu kota bagi menjalani proses rawatan di sebuah hotel di Jalan Chow Kit di sini, kira-kira jam 6 petang, Khamis lalu.

“Sebaik tiba di bilik hotel, suspek berbual mesra terlebih dahulu dengan mangsa sebelum memulakan sesi rawatan aneh berkenaan dengan membuka bajunya sebelum mengarahkan mangsa membuat tindakan sama bagi memudahkan rawatan,” katanya.

Lelaki itu kemudiannya cuba memperkosa mangsa tetapi berjaya dihalang gadis itu menyebabkan suspek marah dan mengugut mahu mengikatnya dengan tali pinggang sebelum memukulnya..

Difahamkan, mangsa yang cuba melepaskan diri dari ‘tawanan’ kemudian mendapat akal melengahkan masa dengan berpura-pura lapar dan meminta suspek bersabar terlebih dahulu.

Kesempatan itu diambil mangsa melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan sebelum mangsa menjerit meminta tolong.

“Tindakan mangsa yang menjerit kuat itu menyebabkan suspek panik sebelum kelam-kabut melarikan diri dari bilik hotel berkenaan. Namun suspek sempat membawa lari bersama komputer riba, beg duit dan telefon bimbit mangsa dianggarkan berjumlah RM3,000,” katanya.

“Nasib baik mangsa mengingati nombor telefon adiknya di Johor untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Difahamkan saudara mangsa datang ke hotel berkenaan dan membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk membuat laporan.



Anak adalah amanah


Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa yang perlu dididik supaya menjadi insan yang berguna. - Gambar hiasan


Sesungguhnya anak yang dikurniakan Allah kepada suami isteri adalah suatu amanah dari Allah SWT. Anak bukanlah hak kita. Ia adalah hak Tuhan. Tuhan yang memberikannya kepada kita.

Sekiranya anak itu hak kita, tentulah apabila kita berkahwin kita akan terus mendapat anak seperti mana yang kita kehendaki.

Ada pasangan yang 10 tahun kahwin tetapi tidak juga mendapat anak. Ini kerana ia tidak mendapat keizinan dari-pada Allah. Sebaliknya, ada orang yang baru enam bulan saja kahwin tetapi sudah mendapat anak.

Sedar akan hakikat bahawa anak yang dianugerahkan kepada ibu dan bapa itu adalah satu amanah daripada Allah. Maka menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa menjaga amanah Allah itu dengan sebaik-baiknya.

Sebagaimana anak wajib berbakti kepada ibu bapanya, ibu bapa juga bertanggungjawab memenuhi segala yang menjadi hak anaknya.

Anak yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka. Ibu bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap anaknya juga boleh dianggap sebagai berlaku zalim.

Meneliti kisah yang berlaku pada zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah boleh membuktikan berlakunya kezaliman ibu bapa terhadap anaknya.

Suatu hari seorang lelaki datang berjumpa Saidina Umar mengadu perihal anaknya yang didakwanya derhaka kepadanya. Umar memanggil anak yang di-katakan derhaka itu. Khalifah mengadili anak itu secara berhadapan dengan ayahnya.

Dalam majlis pengadilan itu, si anak meminta khalifah menyatakan hak anak terhadap ayahnya. Khalifah Umar menyatakan bahawa: "Antara hak-hak anak terhadap ayahnya adalah ayah hendaklah mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya yang bakal lahir ke dunia.

"Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan nama yang baik. Dan setelah anak itu besar, hendaklah diajar membaca al-Quran".

Mendengar yang demikian, si anak lantas berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Itu semua tidak ada yang dia laksanakan. Ibuku dicarinya dari orang Majusi. Namaku dibuatkan Jaklan dan aku tidak diajarnya membaca al-Quran".

Khalifah Omar melihat ke arah lelaki yang membuat aduan sambil berkata kepadanya: "Apakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu? Ternyata engkau telah berlaku zalim kepadanya sebelum dia derhaka kepada-mu. Engkau telah berbuat jahat kepadanya sebelum dia berbuat jahat kepadamu".

Begitulah besarnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya. Sebelum anak itu lahir lagi, kita sudah mempunyai tanggungjawab terhadapnya.

Kita mesti mencari ibu yang baik baginya. Kita mesti mencari wanita yang sihat, sempurna dan cantik. Lebih penting lagi, kita mesti mencari wanita yang solehah dan keturunan yang baik.

Ketika anak berada dalam kandungan, kita wajib menjaganya dengan baik. Si ibu mesti memakan makanan yang baik lagi halal.

Jika ibunya memakan benda-benda haram, ia akan menjadi darah daging bagi si anak dan akan mempengaruhi jiwanya setelah dewasa nanti.

Apabila anak lahir, dia berhak untuk diazan, ditahnik, diberi nama yang baik, dicukur rambutnya dan dibuat akikah.

Setelah anak itu nampak sudah faham akan sesuatu, dia mesti diajar mengaji, ditanam kepadanya masalah akidah, diajar masalah halal haram, mengerjakan solat dan sebagainya.

Dengan kata lain, ibu bapa bukan saja diwajibkan memberi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal kepada anak-anaknya. Malah lebih dari itu ibu bapa wajib mendidik dan memberi pelajaran agar mereka membesar dan menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sabda Rasulullah bermaksud: Setiap anak yang di-lahirkan adalah dalam keadaan bersih melainkan dua orang tua-nyalah yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (riwayat Muslim dan Baihaqi)

Daripada hadis di atas kita dapati peranan ayah dan ibu adalah amat besar untuk melahirkan anak-anak berperibadi dan berakhlak mulia. Anak-anak berada di sekolah kira-kira tujuh jam sahaja sehari.

Dalam masa tersebut anak-anak berada di bawah pengawasan guru. Baki 17 jam lagi dalam hari tersebut, anak-anak berada di bawah penjagaan ibu bapa masing-masing.

Sesungguhnya, anak-anak yang masih kecil mudah dibentuk sesuka hati seperti halnya dengan tepung. Seorang tukang kuih yang sedang memegang tepung, sanggup membentuk tepung itu sesuai dengan kehendaknya.

Begitu jugalah keadaan anak yang masih kecil. Dia masih mudah dibentuk, sama ada untuk dijadikan orang baik atau orang jahat.

Dalam memperkatakan tentang pemberian pelajaran kepada anak-anak, satu perkara yang amat mendukacitakan kita ialah sikap dan tanggungjawab ibu bapa serta bentuk pendidikan yang diberikan kepada anak-anak.

Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa ini kesedaran ibu bapa terhadap kemajuan persekolahan anak-anak memang amat ketara sekali. Mereka rela membayar yuran persekolahan anak-anak hingga berpuluh-puluh ringgit untuk menjamin kejayaan masa depannya.

Bagaimana pula halnya kalau kita bertanya tentang kemajuan pendidikan rohani khususnya kemampuan anak-anak untuk membaca al-Quran dan menulis tulisan jawi. Jawapannya adalah amat mengecewakan. Boleh dikatakan majoriti belia kini tidak tahu membaca jawi. Jika boleh pun bacaan mereka merangkak-rangkak.

Para ibu bapa tidak sedikit pun merasa runsing dan bimbang dengan anak-anak mereka yang tidak boleh membaca jawi dan tidak tahu membaca al-Quran. Sumbangan ibu bapa terhadap perkembangan rohani anak-anak mereka adalah begitu rendah sekali.

Hati mereka merasa begitu berat untuk memberi sumbangan atau hadiah kepada tok-tok guru yang mengajar al-Quran anak-anak mereka.

Namun, mereka tidak memprotes atau bersungut tentang kadar yuran tuisyen anak-anak yang begitu tinggi.

Melihat kepada keadaan ini, satu persoalan boleh diketengahkan. Apakah sikap ibu bapa sebegini boleh dianggap sebagai ibu bapa yang amanah dan bertanggungjawab terhadap anak-anak yang dianugerahkan Allah itu?

Sedarkah para ibu bapa bahawa pendidikan sekular sedikit sekali dapat membantu dan menjamin hidup yang bahagia kepada anak-anak mereka di dunia dan juga di akhirat kelak.

Sesungguhnya anak yang baik akan membawa manfaat kepada ibu bapanya. Dia akan meneruskan perjuangan ibu bapanya dan menolong mereka sesudah tua. Setelah ibu bapa meninggal dunia, anak itu akan mendoakannya dan meminta ampunkan dosanya.

Menyedari hakikat bahawa sifat amanah adalah semulia-mulia sifat di sisi Allah SWT, maka perbuatan menjaga barang amanah dengan sambil lewa dan cuai adalah dikira sebagai satu perbuatan mencuri. Hukumannya adalah berdosa besar.

Oleh itu awasilah anak dengan sebaik mungkin kerana anak adalah amanah Allah.


Bapa tiri cabul, bapa kandung rogol



2010/05/24
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel


KOTA TINGGI: Tindakan seorang ibu di Sabah menghantar anak daranya ke pangkuan bapa kandungnya di Masai di sini, berikutan cubaan suami barunya itu mencabul remaja berkenaan, umpama menghantar anak sulungnya ke mulut harimau, apabila anak gadisnya itu dirogol bekas suaminya dua kali dalam kejadian berasingan, April lalu.

Malah, dalam kejadian terbaru Jumaat lalu, bapa kandung remaja berusia 18 tahun itu dikatakan sudah menyarung kondom selain meletakkan pelincir dipercayai untuk ‘meratah’ anak gadisnya itu, tetapi mangsa diselamatkan sepasukan polis yang menyerbu hotel berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lelaki yang bekerja kilang di Masai itu cuba merogol anaknya untuk kali ketiga sebelum polis menyerbu masuk bilik hotel yang disewa mereka.

Difahamkan, suspek berasal dari Sabah bercerai dengan ibu mangsa ketika mereka tinggal di Sabah semasa mangsa berusia 8 tahun. Mangsa dan adik lelakinya tinggal bersama ibunya di Sabah, manakala suspek berhijrah dan bekerja di sebuah kilang di Johor.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila bapa tiri mangsa cuba mencabulnya Mac lalu, menyebabkan ibu mangsa menghantar remaja itu ke Johor untuk tinggal bersama bapanya di Masai. Malangnya, ketika tidur di rumah bapanya itu pada 5 April lalu, mangsa dirogol pada kira-kira jam 1 pagi, sebelum dirogol kali kedua 14 April lalu di sebuah hotel di Johor Bahru selepas gagal berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (Johor Bahru).

Dalam kejadian terbaru, dua beranak itu pergi menguruskan dokumen diri mangsa di JPN Johor Bahru sebelum lelaki itu mengajak anaknya ke daerah ini dengan alasan mencari pekerjaan.

Apabila tiba di sebuah hotel, mangsa yang curiga dengan kelakuan bapanya yang asyik memegang kemaluannya, meminta suspek membelikan makanan dan ketika lelaki berusia 37 tahun itu keluar, mangsa menghubungi sepupunya di Skudai dan meminta diselamatkan.

Sepupu mangsa menghubungi kenalannya yang juga anggota polis negeri ini yang menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk mendapatkan bantuan.

Sebaik menerima maklumat lokasi sebenar hotel, sepasukan polis diketuai Ketua Unit Cawangan Pegawai Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat menyerbu bilik suspek di hotel berkenaan.

Sunday, May 23, 2010

Kenapa masih belum berumahtangga lagi


Mungkin kalian pernah diajukan soalan oleh teman mahupun kenalan, Kenapa masih belum berumahtangga lagi? Maka gelabahlah bagi mereka yang terlalu sensitif dengan soalan ini lebih-lebih lagi bagi muslimat.


Jawapan yang lazim diberi adalah, Tidak ada jodoh lagi.. atau kadang-kadang, “Belum ada rezeki lagi..” Ada juga memberi jawapan, “Nak bantu keluarga dulu..” Baiklah, mungkin selepas ini kalian akan mempunyai jawapan yang lebih sesuai.

Jodoh, rezeki, ajal dan maut adalah ketetapan Allah s.w.t. Segala sesuatu sejak awal terciptanya Qalam sampai tiba hari Qiyamat telah tertulis di Lauh Mahfudz, kerana sejak permulaan menciptakan Qalam Allah telah berfirman kepadanya dalam hadith qudsi riwayat Bukhari dan Muslim :

“Tulislah”, Dia (Qalam)bertanya : “Wahai Rabb-ku, apa yang harus aku tulis?”
Allah berfirman : “Tulislah segala sesuatu yang terjadi”.
Kemudian dia (Qalam) menulis segala sesuatu yang terjadi sampai hari kiamat. Lalu Allah memerintahkan Malaikat untuk menulis empat perkara iaitu ajal, rezeki, amal, celaka atau beruntung.

Menurut Ulama’ Ahli Sunnah yang dimaksud rezeki itu mencakupi rezeki zahir dan rezeki batin. Dan rezeki batin itu adalah jodoh. Syaikh Muhammad bin Shalih Al-’Utsaimin juga pernah menghuraikan perkara yang sama.


Kalau sebab miskin ataupun tiada duit, itu bukan persoalan utama. Allah menjanjikan suatu pertolongan kepada orang yang ingin bernikah, dalam surah an-Nur ayat 32 Allah berfirman yang bermaksud :

Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan karunia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.


Rasulullah S.A.W menguatkan janji Allah itu dengan sabdanya yang bermaksud :

“Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah karena ingin memelihara kehormatannya . (Hadits Riwayat Ahmad 2 : 251, Nasai, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits No. 2518, dan Hakim 2 : 160 dari shahabat Abu Hurairah radliyallahu anhu).

Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz Ibnu Hajar mencerita bahwa seorang ulama sunni pernah berkata, Jika Dia menghalangimu atas apa yang menjadi hakmu, bererti Dia telah menzalimimu; tetapi jika Dia menghalangi kerana sesuatu yang ada padaNya, maka sesungguhnya Dia memberikan rahmatNya kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya.

Jodoh kita telah pun ditentukan oleh Allah. Apabila Allah menghalangi sesuatu dari seseorang kerana kehendakNya, sudah tentu halangan tersebut merupakan sesuatu yang terbaik, kerana Allah Maha Mengetahui. Apabila Allah telah memutuskan sesuatu yang terbaik kepada makhlukNya, bermakna tuhan sedang melimpahkan rahmatNya kepada makhluk itu.

Nah, ini jawapan yang Aku cari dan persembahkan buat sahabat-sahabat yang bertanya, mengapa masih belum berumahtangga lagi. Sekadar perkongsian dengan sahabat-sahabat dalam soal jodoh.

Mungkin selepas ini, ketika disoal oleh kaum keluarga dan sahabat-handai, Kenapa masih belum berumahtangga lagi?,
jawapan yang sesuai adalah, Semua ini adalah rahmat dari Allah swt .
Wallahualam