SESIAPA saja mempunyai naluri ingin hidup berpasangan dengan pilihan hati masing-masing. Hanya melalui ikatan perkahwinan saja seseorang itu dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal.

SEMOGA KEKAL SELAMANYA...perkahwinan bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga harmoni.
SEMOGA KEKAL SELAMANYA...perkahwinan bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga harmoni.
Dalam Islam, hubungan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia adalah ibadah bertujuan melahirkan generasi dan zuriat soleh sebagai penyambung keturunan.

Al-Quran menjelaskan pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum ayat 21).

Begitu indah perencanaan Allah yang menjadikan manusia melalui fitrahnya untuk hidup berkasih sayang bersama pasangannya.

Allah menciptakan manusia berpasang-pasangan agar manusia dapat hidup lebih teratur selain dapat berkongsi suka duka bersama.

Namun bukan mudah untuk memenuhi tuntutan sebagai pasangan suami isteri kerana perkahwinan perlu pengorbanan dan tanggungjawab.

Perkembangan dunia moden sekarang tidak menidakkan setiap orang amat mudah berjumpa dan mengenali 'calon berpotensi' untuk dijadikan teman hidup.


Malangnya, kebebasan dengan budaya berpasangan dibimbangi mengundang banyak masalah terutama aktiviti seks sebelum berkahwin.

Adalah amai bersetuju sekiranya perkahwinan dipercepatkan. Namun, kita mungkin biasa dengar ada yang mengatakan; "Kejar cita-cita dulu baru kejar cinta", "esok anak dengan bini kamu nak bagi makan pasir?" apabila menyatakan hasrat mahu mendirikan rumah tangga dalam keadaan belum bersedia.

Malah, ada beranggapan berkahwin pada usia muda mendatangkan pelbagai masalah. Lebih buruk, ia membabitkan campur tangan ahli keluarga bakal pasangan seperti adik beradik yang mempengaruhi keputusan ibu bapa dalam menyatakan soal sesuai atau tidak pasangan terbabit.

Bagaimanapun, ia terpulang kepada diri masing-masing yang membawa haluan. Yang penting mereka perlu bijak dan bersedia mental dan fizikal sebelum melangkah ke alam yang penuh dugaan dan tanggungjawab itu.

Perkahwinan dalam usia muda memang baik bagi mengelak perilaku sumbang pasangan yang sedang bercinta.


Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah. Tidak kira pada usia berapa pun, jika sampai jodoh dan ketentuan Ilahi, apa saja kehendak-Nya pasti akan berlaku.

Pada zaman dahulu, pasangan muda mendirikan rumah tangga dianggap perkara biasa, namun tidak pula pada zaman sekarang.

Ramai anak gadis menamatkan zaman bujang ketika usia belasan tahun. Mereka menganggap jika lambat kahwin nanti tidak 'laku' selain ibu bapa bimbang anak mereka melakukan perbuatan luar batasan.

Tidak dinafikan peluang melanjutkan pelajaran tidak seluas sekarang. Tidak hairanlah anak gadis di zaman dulu tamat saja persekolahan peringkat menegah terus mendirikan rumah tangga.

Mereka dinilai jika pandai melakukan kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah dan menjaga adik-beradik sudah dikira layak untuk berkahwin.

Hari ini ramai menyambung yang pengajian ke peringkat lebih tinggi dan mahu mengecapi kejayaan dahulu sebelum memikirkan soal perkahwinan.

Pujian dan galakan perlu diberikan kepada mereka yang 'berani' meninggalkan keseronokan hidup membujang dengan membuat keputusan untuk berkahwin muda.

Sesetengah pihak beranggapan remaja berusia bawah 20 tahun masih 'mentah' untuk mengharungi kehidupan berumahtangga.

Tetapi, perasaan itu pasti bertukar apabila mereka sudah mengalami sendiri pengalaman memikul tanggungjawab sebagai suami isteri.

Jika ditentukan kita berkahwin dalam usia muda, mungkin itu jalan terbaik yang Allah tentukan untuk kita.


Perkahwinan pada usia muda adalah cabaran besar kerana ia membabitkan sensitiviti, emosi serta perasaan cemburu tidak kiralah suami atau isteri.

Justeru, perlu wujud persefahaman dalam memahami keperluan masing-masing. Bagi pasangan yang bercadang mendirikan rumah tangga pada usia muda, kisah puteri kesayangan Rasulullah, Fatimah az-Zahra serta Saidina Ali boleh dijadikan contoh.

Ketika berkahwin, Fatimah berusia 18 tahun mendapat bekas air diperbuat daripada kulit, sebuah kendi tanah, sehelai tikar dan batu penggiling jagung sebagai mahar daripada ayahnya.


Nabi juga pernah berkata kepada puterinya, "Anakku, aku menikahkanmu dengan lelaki yang kepercayaannya lebih kuat dan lebih tinggi daripada yang lainnya, dan seorang yang menonjol dalam hal moral dan kebijaksanaan." Fatimah melaksanakan tugasnya sebagai isteri seperti mengambil air telaga dan menggiling jagung manakala Ali pula keluar bekerja mencari nafkah.

Mereka terkenal dengan budi pekerti tinggi dan bersifat dermawan. Fatimah meninggal dunia di sisi Ali dan anaknya ketika berusia 28 tahun iaitu enam bulan selepas kewafatan Rasulullah.

Rasulullah pernah menyatakan, Fatimah akan menjadi 'ratu segenap wanita di syurga'. Ada kaum lelaki dan ada pula kaum perempuan. Begitulah unik dan rahmat Allah menjadikan alam ini untuk hamba-Nya renungi.

Sebab itu, Rasulullah memberi bimbingan kepada manusia agar memilih pasangan atas empat perkara iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya.

Namun, lebih utama dari empat perkara berkenaan adalah agama yang menjadi tunjang kepada kebahagiaan rumah tangga yang dibina.

Pernikahan adalah alat mencipta keluarga bahagia. Ia bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat semata-mata tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga yang harmoni.

Ekonomi kukuh, mengenali pasangan dengan lebih rapat, kesabaran serta persediaan psikologi adalah persediaan penting dalam mengharungi cabaran alam rumah tangga.

Maka, sesiapa yang mampu dan bersedia untuk berkahwin elok mereka segera berbuat demikian. Kalau hendak difikirkan soal duit, sampai bila-bila pun ia sentiasa tidak mencukupi. Allah sudah menjanjikan pelbagai nikmat dan ganjaran bagi mereka yang melakukan ibadah kahwin ini.

Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari mengatakan bahawa: "Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah ia berpuasa kerana puasa adalah penahan hawa nafsu...."

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata perkahwinan perlu dirancang kerana ada perbezaan hukum kahwin iaitu harus, sunat, wajib bahkan haram.


"Perlu lihat kemampuan untuk menguruskan tanggungjawab selepas kahwin. Kebaikan kahwin awal dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan salah laku nafsu disamping mempercepatkan kematangan.


"Keburukan kahwin awal adalah akan wujudnya hubungan 'fragile' jika sebarang masalah tidak dapat diurus dengan baik," katanya.


Rahimi berkata perkahwinan adalah jalan keluar bagi menghalalkan hubungan tetapi kemampuan melaksanakan tanggungjawab itu tidak terletak pada umur tetapi terletak pada sikap serta kematangan.

"Kerana itu penilaian terhadap kemampuan untuk membina rumah tangga perlu dilihat secara menyeluruh.


"Tidak dinafikan bahawa keselesaan (bukan kemewahan) hidup penting dalam kehidupan rumah tangga. Jadi, kos untuk mewujudkan keselesaan hidup berbeza antara dulu dan sekarang," katanya.


Beliau berkata berkenaan rezeki selepas berkahwin tidak perlu dirisaukan kerana Allah memberi jaminan terhadapnya.

"Bab rezeki memang tidak perlu dibimbangi kerana itu adalah jaminan Allah kepada hamba-Nya tetapi kita perlu berusaha mencari nafkah buat keluarga," katanya.



“Sesiapa yang tidak peduli urusan umat Islam, dia bukan dari kalangan mereka”. (Hadis)

GAMBAR-GAMBAR BAYI DIBUANG

Wednesday, June 2, 2010

BICARA AZNIL NAWAWI

ASSALAMUALAIKUM! Selesai Akademi Fantasia (AF), bermula pula Imam Muda yang membuka tirai Jumaat lalu. Mungkin ada yang terperanjat dengan kemunculan Paknil dalam Imam Muda di setiap saluran berbahasa Melayu secara serentak. Ada yang tertanya-tanya apa hubungan Paknil dengan program realiti pertama di dunia mencari seorang imam yang boleh diangkat sebagai pemimpin agama yang relevan pada komuniti.


Disini Paknil akan membicarakan sedikit mengenai gejala pembuangan bayi yang begitu berleluasa sekarang ini. Apa sebabnya?

Kita sering terlepas pandang akan kesalahan remaja lelaki apabila cerita buang bayi diperkatakan. Kita hanya nampak perempuan yang mengandung dan melahirkan bayi secara haram. Kerja haram ini adalah kerja berdua dan sememangnya kedua-duanya harus dihukum dan dikutuk.

Kenapa agaknya yang lelaki bebas dari pandangan? Walaupun yang membuang bayi adalah si ibu tetapi yang punya angkara adalah si lelaki, sembilan bulan yang lalu!

Sedih betul rasa hati bila kita lihat satu demi satu mayat bayi yang masih bertali pusat ditemui dalam keadaan yang amat memilukan. Pertama kali kes seumpama ini dilaporkan, satu negara terperanjat dan menjerit.

Apa yang merunsingkan Paknil apabila ia terlalu kerap berlaku, masyarakat mula mengambil ringan kerana itu bukan berita yang memeranjatkan lagi. Sudah menjadi berita lumrah. Bila ini terjadi, Paknil takut peristiwa buang anak ini lambat laun akan disama ringankan dengan perbuatan membuang sampah saja.

Dulu-dulu jika kita terdengar ada remaja mengandung dan melahirkan anak luar nikah, kita terperanjat dan tertanya bagaimana perkara itu boleh berlaku kerana kita hidup dalam masyarakat yang mengutuk perbuatan melahirkan anak haram.

Semakin maju negara kita, kita didedahkan dengan cerita, filem, drama TV dari Barat yang menghalalkan anak haram. Maka tidak terperanjat selepas itu ada juga masyarakat kita yang tanpa segan silu boleh tinggal sebumbung dan sebilik dengan yang bukan muhrim.

Walaupun ada serbuan jabatan agama, namun jumlah serbuan dan jumlah perlakuan sumbang tidak seimbang. Berapa banyak sangatlah serbuan yang boleh dilakukan dalam semalam berbanding dengan jumlah zina yang berleluasa.

Kadang-kadang masih ada hotel yang tidak mengendahkan pasangan bukan muhrim mendaftar bilik hotel kerana mereka bukannya ada kuasa untuk menanyakan hubungan pasangan itu. Begitu juga ada pihak tuan rumah yang tanpa rasa bersalah bila mengetahui yang penghuni di rumah atau bilik sewaannya itu sebenarnya bukan pasangan suami isteri.

Teringat zaman Paknil membesar di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kami sekeluarga turut menyewakan beberapa bahagian daripada rumah kami untuk diduduki pasangan kelamin dan orang bujang yang rata-ratanya perantau. Namun, ayah dan ibu Paknil awal-awal lagi sudah beritahu kepada mereka akan perkara yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan. Antaranya termasuklah membawa teman wanita atau teman lelaki ke rumah walaupun pada waktu siang!

Tapi kini Paknil rasa kalau perkara yang sama dilakukan, mungkin akan ramai yang mengatakan perbuatan ayah dan ibu Paknil itu sebagai ketinggalan dan kolot. Namun melihat kejadian demi kejadian bayi haram lahir, Paknil rasa sedih pula kerana bayi yang tidak bersalah itu pula yang terlebih awal menjadi mangsa. Sudahlah kita gelarkannya ‘bayi haram,’ ‘anak luar nikah’, ‘anak haram’ dan macam-macam nama busuk yang lain, malah kini ada yang sanggup membunuh dan membuang mereka secara kejam. MEREKA TIDAK BERSALAH!!! Yang patut direjam dan dibuang adalah si pelaku seks haram itu!

Bagaimana cara agaknya cara untuk menyelamatkan bayi-bayi yang tidak bersalah ini? Di sinilah timbulnya konflik dan sukar ditangani kerana cara-cara menyelamatkan bayi luar nikah ini seolah suatu usaha menghalalkan zina pula. Ada pihak yang menyarankan agar pelaku-pelaku seks menggunakan kaedah penggunaan kondom dan cara pencegahan hamil. Bukankah ini seperti menggalakkan zina?

Ada juga yang menyarankan agar ibu mengandung di luar nikah diserahkan kepada pusat penjagaan ibu dan bayi luar nikah agar bayi-bayi itu tidak menjadi mangsa buang. Sememangnya cadangan ini boleh menyelamatkan bayi tetapi tidakkah ini menjadi salah satu sebab juga menghalalkan dan menggalakkan zina?

Ada pula si bijak pandai yang menyarankan agar ditubuhkan pusat penyerahan anak luar nikah ini untuk mengelakkan anak-anak ini diletakkan di hadapan rumah tetangga, masjid, surau, tong sampah dan sebagainya. Bila sudah ada tempat yang bersedia menerima anak-anak ini, maka makin berleluasalah sikap membuang bayi ini. Sekali gus, ini juga seolah menghalalkan zina!

Klinik-klinik juga sekarang seperti tidak ada segan silu untuk menerima pesakit yang ingin menggugurkan anak apalagi menjual ubat-ubatan yang boleh menggugurkan janin. Bila kaedah pengguguran ini digunapakai, maka masalah untuk mengandung di luar nikah bukan lagi sesuatu yang menakutkan si pelaku dan sekali gus menyumbang kepada penghalalan zina.

Kini, cukup jelas sekarang ini yang perlu dikawal sekarang adalah perlakuan seks luar nikah atau dengan kata yang lebih pedas ZINA. Apakah hukuman terhadap pelaku zina di negara kita ini adalah tidak berat sehingga mereka tidak takut untuk melakukannya? Jika ini adalah antara penyumbangnya, maka kerajaan harus tekun duduk semeja dengan golongan bijak pandai agama dan pihak yang memperjuangkan hak asasi manusia agar satu bentuk hukuman dapat dirangka bagi membanteras zina.

Begitu juga dengan undang-undang sewaan kamar hotel, undang-undang berduaan di tempat awam, undang-undang tinggal rumah sewa beramai-ramai, undang-undang pembelian alat pencegahan hamil dan banyak lagi harus dikaji secara terperinci.

Yang harus kita tangani sekarang ini adalah punca masalah iaitu perlakuan seks luar nikah. Jika dulu ia sesuatu yang sangat jijik di mata masyarakat kita, namun semakin moden, semakin halal pula perlakuan itu di mata anak-anak kita.

Sememangnya sukar untuk kita bendung bahan tontonan dan bacaan dari luar negara yang menghalalkan seks luar nikah ini lebih-lebih lagi dengan ada akses internet sekarang. Namun jika sukar untuk dibendung dari luar, adakah juga sukar untuk kita membendung anak-anak kita dari dalam yang dari segi akidah, pengetahuan agama, sopan santun dan batas pergaulan?

Paknil yakin yang tunjang kepada masalah buang dan bunuh anak luar nikah ini adalah hubungan seks sebelum kahwin atau zina. Ini yang mesti dibanteras dengan apa cara sekalipun dan jangan benarkan ia bertakhta di minda anak-anak kita melalui apa-apa bentuk. Kalau kita dapat kembali tegakkan tunjang ini, Insya-Allah masalah rentetan selepas itu pasti boleh dibatasi.

Wassalam.

Tuesday, June 1, 2010

Lagi mayat bayi ditemui


Mayat bayi lelaki yang ditinggalkan di Jalan SS22/48, Damansara Jaya, semalam. - Gambar ihsan Sin Chew


PETALING JAYA 1 Jun 2010 - Kes pembuangan bayi bagaikan tidak berkesudahan apabila satu lagi mayat bayi lelaki ditinggalkan di bahu jalan di Jalan SS22/48, Damansara Jaya di sini hari ini.


Bayi lelaki malang itu ditemui oleh orang awam yang melalui jalan tersebut ketika pulang bekerja sebelum memaklumkan kepada polis pada pukul 6.15 petang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mayat bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui ditinggalkan di bahu jalan.

Katanya, siasatan awal mendapati, bayi itu yang tidak dibalut dipercayai dilahirkan tidak lebih tiga jam sebelum ditinggalkan di kawasan itu.


"Terdapat kesan darah serta tali pusat pada mayat bayi berkenaan dan kita masih menunggu laporan bedah siasat jika terdapat kecederaan lain.

"Kita tidak menolak kemungkinan suspek yang melakukan jenayah itu merupakan mereka di kawasan berhampiran.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam ini.


ANGGOTA polis memeriksa mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat ketika dijumpai di Damansara semalam.


Kelmarin, satu mayat bayi perempuan ditemui ditinggalkan di dalam sebuah kotak di perhentian bas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Kulai, Johor.

Tambah Arjunaidi, pihaknya akan menjalankan siasatan termasuk meneliti rekod di semua hospital swasta berhampiran bagi mencari petunjuk.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Damansara ditalian 03-77222222 bagi membantu siasatan.