Oleh Muhamad Razak Idris Berita harian Rencana
2010/03/25
Mengikut laporan itu, 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang 2009 meningkat 762 kes berbanding 16,541 pada tahun sebelumnya.
Angka ini harus menimbulkan rasa peduli yang tinggi kepada semua terutama pendakwah berkaitan keadaan institusi keluarga dan sosial negara dan kesan jangka panjang yang bakal terjadi kepada masyarakat keseluruhan jika gejala ini tidak diatasi dengan serius.
Salah satu daripada langkah segera yang boleh dianjurkan bagi mengekang permasalahan ini juga ialah dengan mempermudahkan urusan perkahwinan di kalangan muda mudi. Hal ini menuntut persefahaman langsung daripada ibu bapa.

Dalam erti kata lain, ibu bapa harus menggalakkan anak berkahwin lebih awal setelah memenuhi tahap umur yang diizinkan sekiranya didapati pergaulan mereka boleh membawa kemudaratan. Di dalam keadaan ini, adat yang menghambat perkahwinan hendaklah dipermudahkan.
Usaha menggalakkan perkahwinan awal bagi golongan muda-mudi perlu didukung oleh institusi agama dan sosial. Di dalam hal ini, kita ingin menganjurkan supaya program perkahwinan secara beramai-ramai atau juga dikenali sebagai ‘nikah jamaie’ dibudayakan di dalam masyarakat kita.
Menerusi program ini, pasangan muda-mudi yang sudah bersedia mendirikan rumah tangga dinikahkan dan diraikan secara beramai-ramai di dalam satu majlis yang didukung oleh institusi masyarakat. Program ini akan menjimatkan perbelanjaan urusan perkahwinan, dan di dalam masa yang sama penuh dengan kenangan dan kemeriahan.
17,303 ANAK LUAR NIKAH DIDAFTAR 2009
Oleh Mohd Azis Ngah azis@bharian.com.my
2010/03/21
KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.
Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.
Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara. Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.
Wahai ibu bapa, jenguklah anak di IPT
Mengapa ada yang sanggup membuang bayi? Tidakkah bayi itu harus disayangi selepas bersusah payah mengandung selama sembilan bulan. Adakah sanggup bayi yang terhasil daripada kasih sayang dua insan itu dibiarkan diratah anjing liar atau digilis kenderaan? Manusia jenis apakah yang sanggup melakukan perbuatan keji dan kejam itu? Itu kata saya, kata anda dan kata kita semua apabila setiap kali berita mengenai pembuangan bayi mengisi dada akhbar dan ruangan utama berita.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Selangor berada pada kedudukan tertinggi di negara ini dengan mencatatkan kes pembuangan bayi sepanjang lima tahun belakangan ini, iaitu sebanyak 105 kes, manakala bagi penderaan bayi dan kanak-kanak, Selangor juga merangkul kedudukan nombor satu.
Saya boleh mengandaikan mengapa Selangor begitu galak dalam kes ini, selain menjadi tumpuan belia seluruh negara bekerja mencari rezeki, negeri ini juga mempunyai jumlah pekerja asing yang tidak sedikit bilangannya. Namun begitu di negeri lain juga mempunyai bilangan kes yang begitu membimbangkan. Di Terengganu, walaupun hanya berlaku lima kes pembuangan bayi dan 168 kes penderaan bayi dan kanak-kanak, tetapi senario itu sudah cukup membimbangkan.
Saya melihat masalah ini sebagai 'iceberg' walaupun nampak kecil tetapi sebenarnya besar. Banyak kes sampingan harus kita lihat yang menyumbang kepada peningkatan kes ini sekiranya tidak dibendung.
Oleh itu, saya merayu kepada pemimpin negeri, masyarakat, ibu bapa, belia, remaja dan pelajar marilah kita sama-sama menghalang perkara ini daripada terus menjadi barah.
Kepada ibu bapa, janganlah terlalu sibuk mencari harta dunia, jenguklah anak di asrama, di institusi pengajian tinggi (IPT) dan ambil tahu apa yang mereka buat. Jangan terlalu percaya kerana kejayaan akademik sahaja tidak cukup untuk membina keimanan teguh yang boleh menjadi benteng kepada mereka menolak segala salah laku ini.
Kita sebagai ibu bapa perlulah bertindak selangkah ke hadapan daripada mereka. Ini sebab kata pepatah, kita dahulu yang makan garam, sepatutnya sekilas ikan dia air kita sudah tahu jantan betinanya.
Jika mereka tidak mampu, sama-samalah membantu mereka dari segi kewangan. Percayalah tanggungjawab berkeluarga itu akan membuatkan mereka lebih matang dan lebih tahu akan tujuan dan matlamat mereka dihidupkan ke dunia ini.
Semoga kita dapat sama-sama bertemu Allah SWT di syurga, Amin.
No comments:
Post a Comment