SESIAPA saja mempunyai naluri ingin hidup berpasangan dengan pilihan hati masing-masing. Hanya melalui ikatan perkahwinan saja seseorang itu dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal.

SEMOGA KEKAL SELAMANYA...perkahwinan bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga harmoni.
SEMOGA KEKAL SELAMANYA...perkahwinan bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga harmoni.
Dalam Islam, hubungan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia adalah ibadah bertujuan melahirkan generasi dan zuriat soleh sebagai penyambung keturunan.

Al-Quran menjelaskan pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum ayat 21).

Begitu indah perencanaan Allah yang menjadikan manusia melalui fitrahnya untuk hidup berkasih sayang bersama pasangannya.

Allah menciptakan manusia berpasang-pasangan agar manusia dapat hidup lebih teratur selain dapat berkongsi suka duka bersama.

Namun bukan mudah untuk memenuhi tuntutan sebagai pasangan suami isteri kerana perkahwinan perlu pengorbanan dan tanggungjawab.

Perkembangan dunia moden sekarang tidak menidakkan setiap orang amat mudah berjumpa dan mengenali 'calon berpotensi' untuk dijadikan teman hidup.


Malangnya, kebebasan dengan budaya berpasangan dibimbangi mengundang banyak masalah terutama aktiviti seks sebelum berkahwin.

Adalah amai bersetuju sekiranya perkahwinan dipercepatkan. Namun, kita mungkin biasa dengar ada yang mengatakan; "Kejar cita-cita dulu baru kejar cinta", "esok anak dengan bini kamu nak bagi makan pasir?" apabila menyatakan hasrat mahu mendirikan rumah tangga dalam keadaan belum bersedia.

Malah, ada beranggapan berkahwin pada usia muda mendatangkan pelbagai masalah. Lebih buruk, ia membabitkan campur tangan ahli keluarga bakal pasangan seperti adik beradik yang mempengaruhi keputusan ibu bapa dalam menyatakan soal sesuai atau tidak pasangan terbabit.

Bagaimanapun, ia terpulang kepada diri masing-masing yang membawa haluan. Yang penting mereka perlu bijak dan bersedia mental dan fizikal sebelum melangkah ke alam yang penuh dugaan dan tanggungjawab itu.

Perkahwinan dalam usia muda memang baik bagi mengelak perilaku sumbang pasangan yang sedang bercinta.


Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah. Tidak kira pada usia berapa pun, jika sampai jodoh dan ketentuan Ilahi, apa saja kehendak-Nya pasti akan berlaku.

Pada zaman dahulu, pasangan muda mendirikan rumah tangga dianggap perkara biasa, namun tidak pula pada zaman sekarang.

Ramai anak gadis menamatkan zaman bujang ketika usia belasan tahun. Mereka menganggap jika lambat kahwin nanti tidak 'laku' selain ibu bapa bimbang anak mereka melakukan perbuatan luar batasan.

Tidak dinafikan peluang melanjutkan pelajaran tidak seluas sekarang. Tidak hairanlah anak gadis di zaman dulu tamat saja persekolahan peringkat menegah terus mendirikan rumah tangga.

Mereka dinilai jika pandai melakukan kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah dan menjaga adik-beradik sudah dikira layak untuk berkahwin.

Hari ini ramai menyambung yang pengajian ke peringkat lebih tinggi dan mahu mengecapi kejayaan dahulu sebelum memikirkan soal perkahwinan.

Pujian dan galakan perlu diberikan kepada mereka yang 'berani' meninggalkan keseronokan hidup membujang dengan membuat keputusan untuk berkahwin muda.

Sesetengah pihak beranggapan remaja berusia bawah 20 tahun masih 'mentah' untuk mengharungi kehidupan berumahtangga.

Tetapi, perasaan itu pasti bertukar apabila mereka sudah mengalami sendiri pengalaman memikul tanggungjawab sebagai suami isteri.

Jika ditentukan kita berkahwin dalam usia muda, mungkin itu jalan terbaik yang Allah tentukan untuk kita.


Perkahwinan pada usia muda adalah cabaran besar kerana ia membabitkan sensitiviti, emosi serta perasaan cemburu tidak kiralah suami atau isteri.

Justeru, perlu wujud persefahaman dalam memahami keperluan masing-masing. Bagi pasangan yang bercadang mendirikan rumah tangga pada usia muda, kisah puteri kesayangan Rasulullah, Fatimah az-Zahra serta Saidina Ali boleh dijadikan contoh.

Ketika berkahwin, Fatimah berusia 18 tahun mendapat bekas air diperbuat daripada kulit, sebuah kendi tanah, sehelai tikar dan batu penggiling jagung sebagai mahar daripada ayahnya.


Nabi juga pernah berkata kepada puterinya, "Anakku, aku menikahkanmu dengan lelaki yang kepercayaannya lebih kuat dan lebih tinggi daripada yang lainnya, dan seorang yang menonjol dalam hal moral dan kebijaksanaan." Fatimah melaksanakan tugasnya sebagai isteri seperti mengambil air telaga dan menggiling jagung manakala Ali pula keluar bekerja mencari nafkah.

Mereka terkenal dengan budi pekerti tinggi dan bersifat dermawan. Fatimah meninggal dunia di sisi Ali dan anaknya ketika berusia 28 tahun iaitu enam bulan selepas kewafatan Rasulullah.

Rasulullah pernah menyatakan, Fatimah akan menjadi 'ratu segenap wanita di syurga'. Ada kaum lelaki dan ada pula kaum perempuan. Begitulah unik dan rahmat Allah menjadikan alam ini untuk hamba-Nya renungi.

Sebab itu, Rasulullah memberi bimbingan kepada manusia agar memilih pasangan atas empat perkara iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya.

Namun, lebih utama dari empat perkara berkenaan adalah agama yang menjadi tunjang kepada kebahagiaan rumah tangga yang dibina.

Pernikahan adalah alat mencipta keluarga bahagia. Ia bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat semata-mata tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga yang harmoni.

Ekonomi kukuh, mengenali pasangan dengan lebih rapat, kesabaran serta persediaan psikologi adalah persediaan penting dalam mengharungi cabaran alam rumah tangga.

Maka, sesiapa yang mampu dan bersedia untuk berkahwin elok mereka segera berbuat demikian. Kalau hendak difikirkan soal duit, sampai bila-bila pun ia sentiasa tidak mencukupi. Allah sudah menjanjikan pelbagai nikmat dan ganjaran bagi mereka yang melakukan ibadah kahwin ini.

Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari mengatakan bahawa: "Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah ia berpuasa kerana puasa adalah penahan hawa nafsu...."

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata perkahwinan perlu dirancang kerana ada perbezaan hukum kahwin iaitu harus, sunat, wajib bahkan haram.


"Perlu lihat kemampuan untuk menguruskan tanggungjawab selepas kahwin. Kebaikan kahwin awal dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan salah laku nafsu disamping mempercepatkan kematangan.


"Keburukan kahwin awal adalah akan wujudnya hubungan 'fragile' jika sebarang masalah tidak dapat diurus dengan baik," katanya.


Rahimi berkata perkahwinan adalah jalan keluar bagi menghalalkan hubungan tetapi kemampuan melaksanakan tanggungjawab itu tidak terletak pada umur tetapi terletak pada sikap serta kematangan.

"Kerana itu penilaian terhadap kemampuan untuk membina rumah tangga perlu dilihat secara menyeluruh.


"Tidak dinafikan bahawa keselesaan (bukan kemewahan) hidup penting dalam kehidupan rumah tangga. Jadi, kos untuk mewujudkan keselesaan hidup berbeza antara dulu dan sekarang," katanya.


Beliau berkata berkenaan rezeki selepas berkahwin tidak perlu dirisaukan kerana Allah memberi jaminan terhadapnya.

"Bab rezeki memang tidak perlu dibimbangi kerana itu adalah jaminan Allah kepada hamba-Nya tetapi kita perlu berusaha mencari nafkah buat keluarga," katanya.



“Sesiapa yang tidak peduli urusan umat Islam, dia bukan dari kalangan mereka”. (Hadis)

GAMBAR-GAMBAR BAYI DIBUANG

Monday, May 24, 2010


Bapa tiri cabul, bapa kandung rogol



2010/05/24
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel


KOTA TINGGI: Tindakan seorang ibu di Sabah menghantar anak daranya ke pangkuan bapa kandungnya di Masai di sini, berikutan cubaan suami barunya itu mencabul remaja berkenaan, umpama menghantar anak sulungnya ke mulut harimau, apabila anak gadisnya itu dirogol bekas suaminya dua kali dalam kejadian berasingan, April lalu.

Malah, dalam kejadian terbaru Jumaat lalu, bapa kandung remaja berusia 18 tahun itu dikatakan sudah menyarung kondom selain meletakkan pelincir dipercayai untuk ‘meratah’ anak gadisnya itu, tetapi mangsa diselamatkan sepasukan polis yang menyerbu hotel berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lelaki yang bekerja kilang di Masai itu cuba merogol anaknya untuk kali ketiga sebelum polis menyerbu masuk bilik hotel yang disewa mereka.

Difahamkan, suspek berasal dari Sabah bercerai dengan ibu mangsa ketika mereka tinggal di Sabah semasa mangsa berusia 8 tahun. Mangsa dan adik lelakinya tinggal bersama ibunya di Sabah, manakala suspek berhijrah dan bekerja di sebuah kilang di Johor.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila bapa tiri mangsa cuba mencabulnya Mac lalu, menyebabkan ibu mangsa menghantar remaja itu ke Johor untuk tinggal bersama bapanya di Masai. Malangnya, ketika tidur di rumah bapanya itu pada 5 April lalu, mangsa dirogol pada kira-kira jam 1 pagi, sebelum dirogol kali kedua 14 April lalu di sebuah hotel di Johor Bahru selepas gagal berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (Johor Bahru).

Dalam kejadian terbaru, dua beranak itu pergi menguruskan dokumen diri mangsa di JPN Johor Bahru sebelum lelaki itu mengajak anaknya ke daerah ini dengan alasan mencari pekerjaan.

Apabila tiba di sebuah hotel, mangsa yang curiga dengan kelakuan bapanya yang asyik memegang kemaluannya, meminta suspek membelikan makanan dan ketika lelaki berusia 37 tahun itu keluar, mangsa menghubungi sepupunya di Skudai dan meminta diselamatkan.

Sepupu mangsa menghubungi kenalannya yang juga anggota polis negeri ini yang menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk mendapatkan bantuan.

Sebaik menerima maklumat lokasi sebenar hotel, sepasukan polis diketuai Ketua Unit Cawangan Pegawai Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat menyerbu bilik suspek di hotel berkenaan.

No comments:

Post a Comment